Thursday, April 16, 2009

UMNO

haha tadi bkak yahoo jap then jenol kot post mende alah ni. gile la hani sensei org kuat UMNO kat jepun ..

Lupakan Amalan Politik Wang - Kelab UMNO

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kelab-kelab UMNO di luar negara meminta para pemimpin parti melupakan sama sekali amalan politik wang dari minda mereka demi maruah bangsa Melayu.
Sebaliknya, wakil kelab, Hani Azita Ahmad dari Kelab UMNO Jepun berkata, para pemimpin UMNO perlu berkhidmat demi memartabatkan maruah bangsa, agama dan negara agar tetap harum di mata dunia.

``Kami, generasi baru berpendapat, pemimpin alaf baru patut terdiri daripada mereka yang intelek, bersahsiah murni dan berketrampilan bagi meneruskan pengisian pimpinan UMNO,'' katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Dalam pada itu, Hani Azita berkata, kesilapan dan kegagalan pelajar untuk memahami sejarah bangsa, agama dan negara akan menyebabkan bangsa Melayu alpa.
Keadaan ini, katanya, akan menyebabkan negara kembali dijajah dan terpaksa mengikut telunjuk asing.

Beliau mengambil contoh negara Jepun yang walaupun maju, tetapi terpaksa mengikut telunjuk Amerika Syarikat dengan membenarkan negara itu menempatkan anggota tenteranya dalam wilayah mereka.

Sehubungan itu, katanya, rakyat patut bersyukur dengan kebebasan dan kemerdekaan yang dinikmati oleh negara dalam erti kata sebenar.

Selain itu, Hani Azita menyarankan kerajaan menambah pegawai-pegawai di seberang laut bagi menjaga kebajikan pelajar Malaysia, selain mengelakkan mereka mudah dipengaruhi oleh dakyah pembangkang.

Langkah itu, katanya, dapat membantu penumpuan pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik kerana tidak lagi dibelenggu oleh masalah terutamanya bebanan dari segi kewangan.
Beliau berkata, beban kewangan yang dihadapi oleh pelajar sering kali menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan berpaling kepada pembangkang ``walaupun dahan yang dipaut itu rapuh.''

Beliau juga mendakwa, pembangkang khususnya Parti Keadilan Nasional begitu giat menyebarkan pengaruh mereka di kalangan pelajar, terutama di United Kingdom dan Ireland.
Sehubungan itu, beliau merayu pegawai yang telah diamanahkan oleh kerajaan untuk menjaga kebajikan pelajar di luar negara dan di institusi pengajian tinggi tempatan supaya menjalankan tanggungjawab mereka.

``Bukan susah sangat jaga pelajar di luar negara seperti kami ini. Cukup makan, cukup pakai, cukup duit, Insya-Allah keputusan peperiksaan pun cemerlang,'' katanya disambut tepukan para perwakilan.